MENU

Thursday 11 April 2013

"MeN -....... -kan " dan " MeN - ...... -i "

Perkataan yang terbentuk dengan kedua-dua apitan ini tergolong kepada kata kerja, kerana "meN -.... -kan" dan "meN - .... -i" masing-masing berfungsi sebagai pembentuk kata kerja. Contoh kata kerja dengan apitan-apitan ini ialah : mendirikan, memikirkan, mendekati dan mencontohi. Kata kerja yang terbentuk dengan kedua-dua apitan ini merupakan kata kerja transitif, iaitu yang perlu diikuti oleh objek. Oleh itu, semua kata kerja yang tersenarai di atas mempunyai objek, misalnya mendirikan rumah, memikirkan perkara ini, mendekati dinding dan mencontohi perangainya. Dapat dilihat bahawa wujud banyak persamaan antara kedua-dua kata kerja ini. Masing-masing membentuk kata kerja, dan kata kerja yang terbentuk masing-masing bersifat kata kerja transitif. Ada kalanya, satu kata dasar boleh menerima kedua-dua apitan ini, misalnya "mendekatkan" dan "mendekati", "menghadiahkan" dan "menghadiahi", dan "menyiramkan" dan "menyirami". Di sinilah timbul kekeliruan. Bilakah digunakan "menghadiahkan" dan bilakah "menghadiahi'? Bolehkah kedua-dua ini saling berganti? Jawapannya terletak pada makna yang dibawa oleh kata kerja yang menerima apitan yang berbeza ini. Bagi perkataan tertentu, kata kerja dengan apitan "meN -... -kan" membawa maksud kausatif, yakni menjadikan atau menyebabkan. "Mendekatkan meja ke dinding" bererti menjadikan meja dekat dengan dinding. Demikian juga, "menghadiahkan buku kepada Siti" bererti menjadikan buku sebagai hadiah kepada Siti. Dan "menyiramkan air ke bunga" membawa maksud menjadikan air turun ke atas bunga. Sebaliknya, kata kerja dengan apitan "meN -...-i" membawa maksud lokatif atau tempat. "Mendekati" dalam ayat (1) "Saya mendekati dinding itu" membawa erti dinding sebagai tempat yang saya dekati. Bezakan makna ayat ini dengan ayat (2) "Saya mendekatkan meja ke dinding". Tidak tepat jika dikatakan "mendekatkan dinding" , kecuali yang dimaksudkan ialah menjadikan dinding dekat dengan sesuatu. Demikian juga "menghadiahi Siti buku" membawa maksud bahawa orang (atau tempat) yang menerima hadiah itu ialah Siti, dan "menyirami bunga dengan air" memberitahu kita bahawa tempat yang kena siram ialah (pokok) bunga. Perhatikan apa akan terjadi jikalau kita tidak menggunakan apitan ini dengan betul. Dalam ayat (3) *Saya menghadiahkan Siti sebuah buku, dari segi tatabahasa, ayat ini tidak salah tetapi maknanya agak janggal. Dalam ayat ini "menghadiahkan Siti" bermaksud menjadikan Siti sebagai hadiah. Gambaran yang timbul ialah Siti dibungkus sebagai hadiah, yang kemudiannya diberikan kepada buku!Jikalau perbezaan ini dapat difahami, tidaklah lagi kita membuat kesalahan. Contoh-contoh kata kerja lain yang membawa perbezaan yang sama ialah "menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara ke atas Abu" lawan "menjatuhi Abu hukuman tiga tahun penjara", "menghidangkan sepinggan kuih kepada tetamu" lawan "menghidangi tetamu sepinggan kuih," dan "menganugerahkan gelaran Tan Sri kepada beliau" lawan "menganugerahi beliau gelaran Tan Sri ." Perlu diingatkan bahawa dalam amalan sehari-hari, terdapat satu dua perkataan yang entah mengapa, tidak membezakan makna antara apitan "meN-... -kan" dengan "meN-...-i" iaitu "membaikkan" dan "membaiki" , dan "merupakan" dan "merupai". Kedua-dua perkataan ini boleh bertukar ganti dalam penggunaan. Ada pihak yang memilih "membaiki" dan "merupakan" tetapi ada juga pihak yang memilih "membaikkan" dan merupai". Anggaplah ini sebagai unsur kekecualian.

19 comments:

  1. TQ cikgu...leh wat rujukan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. assalamualaikum.. mcmna pula dgan 'selamat menjalankan ibadah puasa' dan 'selamat menjalani ibadah puasa'??? menjalankan atau menjalani?

      Delete
  2. Terima kasih,cikgu kerana saya sudah faham tentang "MeN -....... -kan " dan " MeN - .....i"

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tahniah....semoga kamu dapat menggunakan perkataan berimbuhan dengan betul !

      Delete
  3. cikgu, meng....i dan meng...kan boleh guna kan?? Yang lain sye sudah faham.. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Stephanie @ Bernice, kedua-duanya boleh digunakan dan mesti sesuai dengan ayat....

      Delete
  4. saya dah faham ............ arigato

    ReplyDelete
    Replies
    1. Syabas, kalau kamu dah faham. Cikgu harap kamu boleh gunakan apabila perlu!

      Delete
  5. cikgu saya tak faham =='
    cikgu saya chi yong fei saya guna abang accout saya =='

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hmmm.....kamu tak baca pun...bagaimana kamu nak faham....

      Delete
    2. Perkataan yang terbentuk dengan kedua-dua apitan ini tergolong kepada kata kerja, kerana "meN -.... -kan" dan "meN - .... -i" masing-masing berfungsi sebagai pembentuk kata kerja.

      saya faham dah cikgu

      Delete
  6. dah cikgu saya akan baca lagi sekali (Y)

    ReplyDelete
  7. cikgu kami faham untuk menggunakan perkataan tersebut,

    ReplyDelete
  8. Cikgu,boleh tak kita menggunakan menjalankan latihan untuk menganti menjalani latihan?

    ReplyDelete
  9. saya makan nasi, saya memakan nasi atau saya memakankan nasi.. saya tendang bola, saya menendang bola atau saya menendangkan bola.... saya mempamer senyuman atau saya mempamerkan senyuman.. saya menghidang kuih atau saya menghidangkan kuih.. saya mengetuk paku atau saya mengetukkan paku.. (pening)...

    ReplyDelete