1. Sudah menjadi kelaziman ungkapan kehormat
Yang Berbahagia digunakan
secara umum bagi orang yang mendapat gelaran anugerah, sama ada anugerah
kehormatan negara atau negeri atau masyarakat mahupun anugerah daripada atau
kelulusan akademik.
2. Ungkapan
Yang Berbahagia digunakan sebagai sapaan sebelum nama gelaran
bagi anugerah bintang atau pingat (negara, negeri atau masyarakat) dan seumpamanya
yang terletak di depan nama orang, sama ada penyandang pangkat atau jawatan tertentu
atau tidak.
Contoh penggunaan:
- Yang Berbahagia Tun
- Yang Berbahagia Tan Sri
- Yang Berbahagia Dato'
- Yang Berbahagia Datuk Seri
- Yang Berbahagia Datuk Patinggi
- Yang Berbahagia Datin Paduka
3. Ungkapan sapaan kehormat Yang Berbahagia sangat sesuai digunakan bagi
anugerah daripada pencapaian akademik atau kelulusan seperti
Doktor, Profesor,
Profesor Madya, Doktorandus, Doktoranda dan Insinyur. Kata
Tuan atau
Puan
mengiringi
Yang Berbahagia.
Contoh penggunaannya:
- Yang Berbahagia Tuan Doktor Amirul
- Yang Berbahagia Tuan Profesor Amir Hamzah
- Yang Berbahagia Tuan Profesor Madya Amin
- Yang Berbahagia Tuan Doktorandus Amiruddin
- Yang Berbahagia Tuan Insinyur Amirul Mukminin.
4. Ungkapan
Yang Berbahagia digunakan secara meluas sebagai sapaan umum bagi
nama jawatan atau pangkat yang disandang seseorang. Kata nama Tuan atau Puan
digunakan selepas ungkapan kehormat
Yang Berbahagia, iaitu sebelum nama jawatan
atau pangkat yang berkenaan.
Contoh penggunaan:
- Yang Berbahagia Tuan Pengerusi Majlis
- Yang Berbahagia Tuan Ketua Kampung
- Yang Berbahagia Tuan Ketua Pengarah
- Yang Berbahagia Tuan Pengurus
- Yang Berbahagia Tuan Inspektor
- Yang Berbahagia Datuk Bandar
- Yang Berbahagia Ahli-ahli Lembaga Pengarah
5. Dalam komunikasi formal, ungkapan
Yang Berbahagia sangat sesuai digunakan
sebagai sapaan umum bagi nama orang yang kita hormati atau kita muliakan.
Antara golongan yang utama ialah mereka yang memakai gelaran Haji dan Hajah
atau gelaran atau sapaan keagamaan yang lain seperti
Sahibul-Samahah,
Sahibul-Fadilah dan
Sahibul-Sa'adah.
Contoh penggunaan:
- Yang Berbahagia Tuan Haji Ishak
- Yang Berbahagia Puan Hajah Umi Kalthum
- Yang Berbahagia Sahibul-Samahah Mufti Negeri
- Yang Berbahagia Tuan Imam Masjid
6. Dalam komunikasi formal juga, ungkapan
Yang Berbahagia pernah digunakan untuk mana-mana orang yang ingin kita hormati atau kita muliakan. Walau bagaimanapun, dalam keadaan biasa, ungkapan yang wajar digunakan ialah
Tuan atau
Puan sahaja.